Kampung Parit Selangor Bahru adalah sebuah kampung  tradisi telah mula diterokai pada tahun 1922 oleh sekumpulan 10 orang pemuda yang berasal dari Daerah Panorogo Pulau Jawa, Indonesia. Sebelum mereka meneroka kampung ini, mereka telah meneroka di kawasan Parit Bingan, Parit Raja, Batu Pahat. Kemudian sekumpulan ini telah bermuafakat untuk mencari perkampungan baru. Salah seorang daripada pemuda ini mempunyai kenalan dengan seorang ketua yang telah terlebih dahulu meneroka bersebelahan dengan kampung ini. Mereka telah menghantar 2 orang wakil menemui Mbah Salleh untuk perbincangan pembukaan kampung baru. Setelah mendapat persetujuhan dan pengakuan Mbah Salleh, sekumpulan ini telah balik semula ke Batu Pahat untuk memberitahu khabar berita ini kepada rakan-rakan mereka. Beberapa hari kemudiannya, mereka telah bertolak daripada Batu Pahat ke Pontian dengan menaiki bot membina sebuah pondok dan mula meneroka kawasan baru secara gotong royong. Mereka telah membahagikan setiap seorang 1 lot  tanah ( lebih kurang 10 ekar ) dan memulakan penghidupan baru sebagai petani lalu Kumpulan ini telah bersepakat menamakan kampung ini sebagai Kampung Parit Selangor Baru.